Daisypath - Personal pictureDaisypath Wedding tickers

Wednesday, September 24, 2008

Pergi yang Tidak Kembali


“Hari ini sangat indah. Seindah senyuman Munawwarah yang menenangkan. Ahh, hatiku dipaut gelisah tatkala mengingati bait nama ini. Sungguh menyesakkan dadaku. Kenapa dia yang muncul di ingatan, tika aku mahukan ketenangan mengagungkan ciptaan Allah di waktu senja ini? Alangkah indahnya andai dia tidak pernah muncul dalam hidupku. Tetapi, wajah inilah yang saban hari ku curi-curi pandang, ku curi-curi dengar suaranya yang lunak merdu. Sayang sekali dia sudah berpunya… hancur hatiku bila mengingati yang dia sudahpun menjadi isteri orang. Kenapa aku terlewat menemuimu, Munawwarah?” Zulhilmi bermonolog sendirian di lereng bukit bersama motor kapcainya. Seringkali dia melewati Bukit Permai itu di kala senja untuk menikmati panorama indah matahari terbenam. Pemandangan yang sangat menenangkan hatinya.
**********************************
“Kak yong, ada orang nak jumpa!” laung Syifa’ di aras bawah asrama tiga tingkat itu. Suaranya yang agak lantang cukup jelas untuk memanggil sahabatnya itu, walau dari tingkat bawah.
“Sape ye? Kejap-kejap.. Kak yong nak turun dah ni..” balas Nur dari tingkat atas antara dengar dan tidak.
Nur bergegas memakai tudung labuh pemberian suaminya itu untuk berjumpa dengan tetamu yang tidak dijangka itu. Kebiasaannya, hanya suaminya yang datang mengunjunginya di asrama. Tetapi nada Syifa’ lain dari biasa. Kalau suaminya yang datang, tentu sahaja Syifa’ akan mengusiknya.
Setibanya Nur di aras bawah, dia terkejut kerana tetamunya itu bukan mahramnya, lantas Nur ke bilik Syifa’ yang berada di aras bawah itu untuk meminjam stokin. Dia juga meminta Syifa’ agar menemaninya berjumpa dengan tetamu tersebut.
“Siapa jejaka tampan berdua tu? Sepupu ke? Kenalkan la pada kak ude. Boleh jadi calon suami. Hehe..” Syifa’ yang menggelarkan dirinya kak ude itu bertanya sambil tersenyum penuh makna.
“Kak yong pun tak kenal la sape mereka tu, kak ude. Dari mana pula mereka ni datang? Apa urusan nak jumpa ngan kak yong hari ni?” Nur menjawab soalan Syifa’.
“Eh, hairan pulak. Kalau kak yong tak kenal, macamane diorang boleh kenal kak yong?”
“Entahlah kak ude. Jom kita pi siasat sape diorang nak?”
“Jom…”
Nur melangkah seiring dengan Syifa’ menuju ke arah tetamu yang sedang menunggu di halaman tetamu asrama. Dua pemuda tersebut kelihatan resah kerana lama menunggu.
“Assalamualaikum…” sapa Nur.
“Waalaikummussalam” jawab kedua-dua mereka.
Salah seorang dari mereka mula berbicara.
“Awak ke yang uruskan sidang redaksi Al-Itqan?”
“Ye saye. Kenapa ye?” Nur menjawab dan terus mengajukan persoalan.
“Saya hanya nak sampaikan pesanan Cikgu Hasnan. Dia minta saya menjadi ketua editor menggantikan tempat awak. Katanya, itu permintaan awak. Jadi, saya datang ni nak minta semua bahan yang dah dibuat setakat ni.” Ujar pemuda tersebut.
‘Gantikan tempat aku? Sejak bila pula aku minta ditukarkan? Bukankah jawatan inipun dia yang bagi pada aku dulu?’ Nur berbicara di dalam hatinya.
“Em, baiklah. Bagi saya masa untuk kemaskinikan fail dulu ye. Kalau boleh, petang nanti saya letak kat pejabat sidang redaksi Al-Itqan ye?” respon Nur.
“Kalau begitu tak apalah. Saya nak maklumkan je. Lepas ni, sila bagi tunjuk ajar pada saya ye,” pintanya penuh hormat.
Syifa’ terkedu mendengar. Selama ini, tidak pernah pun timbul isu Nur mahu meletak jawatan. Malahan, dia amat seronok melakukan tugasan dalam bidang penulisan.
“Apa sebenarnya ni kak yong? Kenapa kak yong nak letak jawatan? Ada masalah ke? Tak bagitau kak ude pun?” soal Syifa’ sebaik sahaja mereka berlalu.
“Ehmm, masalahnya memang ada. Sejak bila pula kak yong minta untuk melepaskan jawatan tersebut? Tak pernah pun kak yong terlintas di fikiran nak meletak jawatan. Tapi, mesti ada hikmahnya. Tak apalah. Kurang amanah, bermaksud kurang soal jawab kita di akhirat” jawab Nur tenang.
Namun, jauh di sudut hatinya tertanya-tanya, kenapa Cikgu Hasnan membuat keputusan yang drastik dan mengejutkan sebegini. Selama ini, dia sangat baik pada Nur, malah sangat senang bila Nur selalu berurusan dengan beliau. Sehari tak jumpa, pasti disuruh Nur ke biliknya untuk membincangkan soal majalah yang bakal diterbitkan dua bulan lagi.
Keesokan harinya, Nur ditemani Syifa’ menuju ke bilik Cikgu Hasnan untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Setibanya di hadapan pintu, Nur berdoa agar dikuatkan hatinya menerima apa jua yang bakal berlaku.
“Assalamualaikum”
“Waalaikummussalam. Masuk!”
Nur dan Syifa’ terus masuk sebaik sahaja mendengar arahan. Dilihatnya Cikgu Hasnan tidak berpaling kepada mereka. Lain benar sikap Cikgu Hasnan daripada biasa. Selama ini, Cikgu Hasnan amat periang orangnya, dan tentunya akan terus tersenyum melihat tetamu, lebih-lebih lagi pada Nur.

Bersambung.....



Feel free to surf....
Feel Hard to leave...

No comments:

Post a Comment