Daisypath - Personal pictureDaisypath Wedding tickers

Thursday, July 31, 2008

Parti Berwibawa Tegas Pendirian


"Oleh: Haji Suhaimi Said, Ketua Penerangan PKR Pahang; PAS adalah sebuah parti politik yang sangat berwibawa dan dipimpin oleh saf kepimpinan yang sudah diuji. Selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, PAS telah mendapat tawaran yang hebat dari UMNO. Tawaran itu bukan sekadar untuk berkongsi kuasa bahkan PAS diberikan hak majoriti untuk mentadbirkan Selangor dan Perak, terus berkuasa di Kelantan dan Kedah serta mendapat jawatan-jawatan EXCO di Negeri-Negeri Pahang, Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan.
PAS juga ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua.
Selain daripada itu PAS ditawarkan untuk bertanding disemua kawasan-kawasan DUN dan Parlimen yang dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Seperti juga nyior setandan, ada juga buah-buahnya yang "komeng" dan buah yang komeng itu tidaklah mewakili kualiti nyior setandan itu.
Walaupun menerima tawaran yang begitu hebat PAS masih boleh berlapang dada dan boleh menolak tawaran UMNO dengan hati terbuka. PAS masih dan tetap mampu menyatakan bahawa parti itu sanggup bermuzakarah atau bermuqabalah untuk PAS menerangkan kepada UMNO perkara-perkara yang menghimpit rakyat yang perlu UMNO lakukan, dan PAS tidak menggelabah untuk menerima tawaran dari UMNO.
Pembaca kena mengkaji dua perspektif yang berbeza. UMNO ingin bermuzakarah dengan PAS semata-mata untuk mengekalkan kuasa BN keatas Selangor, Perak, Kedah, dan Kelantan dengan pentadbiran BN dikendalikan oleh PAS, manakala PAS sanggup bermuzakarah dengan UMNO untuk menunjukkan kepada UMNO bahawa pentadbiran UMNO itu tidak telus dan perlu diperbaikki terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pembangkang.
PAS menemui UMNO bukan untuk berdailog dan bukan untuk berjual-beli tentang kuasa pemerintahan.
Isu yang dikatakan bahawa perjumpaan itu adalah untuk perpaduan Melayu dan Islam adalah isu yang dibesarkan oleh UMNO, manakala PAS membawakan isu untuk mencari kebajikan dan perpaduan rakyat.
Diantara UMNO dan PAS hingga bila-bila pun tak akan ada jalan pertemuan mengenai isu perpaduan Melayu dan Islam kerana diantara kedua-dua parti itu mempunyai pendekatan yang berbeza. Sesungguhnya Melayu tidak pernah bersatu, dari zaman purbakala hinggalah kezaman amalan demokrasi, dari zaman penjajahan hinggalah kezaman kemerdekaan, Melayu tidak pernah bersatu.
Ada Melayu yang menyokong sesebuah Kerajaan dan seseorang Raja dan ada pula yang menentangnya; ada Melayu yang menyokong penjajahan dan ada pula yang menentangnya; ada Melayu yang berpegang kepada ideologi kiri, ada Melayu yang bepegang kepada ideologi kanan dan ada Melayu yang berideologikan Islam.
Ada Melayu yang menyokong UMNO, ada Melayu yang menyokong PAS, ada Melayu yang menyokong PRM/PKN/PKR.
Melayu tidak pernah bersatu dari segi pandangan terhadap Dasar Ekonomi Baru. Ada Melayu yang menyokong DEB kononnya untuk kepentingan Melayu, ada Melayu yang menentang DEB kononya DEB itu meperkayakan Melayu yang sudah kaya dan tidak memberi menfaat kepada Melayu bawahan.
Pepatah Melayu yang terkenal iaitu enggang sesama senggang dan pipit ketepian melambangkan kedudukan orang Melayu dan juga bangsa-bangsa lain.
PAS komited dengan perjuangan Islam kearah penubuhan Negara Islam dan Quraan, Hadis, Ijmak Ulamak dan Qiyas menjadi hukum dan perundangan tertinggi.
PAS sanggup bekerjasama dengan PKR dan DAP didalam Pakatan Rakyat semata-mata untuk suatu perjuangan membela nasib rakyat bawahan dan pemerintahan yang berkeadilan, dan tidak luntur dengan pegangan itu.
Karpal Singh melahirkan rasa kebimbangannya dan menyeru supaya PAS dikeluarkan dari Pakatan Rakyat. Dengan menzahirkan pandangan sedemikian itu, Karpal sudah masuk kedalam perangkap UMNO. Itulah yang dimahukan oleh UMNO supaya dikalangan parti-parti didalam Pakatan Rakyat akan ujud perasaan syak wasangka.
Kalau PAS sanggup menolak tawaran yang begitu besar dari UMNO tak sanggupkah Karpal Singh menerima penolakan PAS itu sebagai suatu pengorbanan?
Sudah berapa ramai orang PAS, PKR, DAP bahkan sudah berapa banyak organisasi yang sudah tewas kerana menerima lamaran dari UMNO/BN.
Karpal sebagai seorang politikus veteran, takkanlah tidak mengerti tentang tendang-terajang UMNO/BN. Bukan senang nak tolak tawaran orang kaya dan bekuasa, tetapi PAS telah lulus ujian itu.
Hanya, PAS perlulah juga melihat kedalam organisasinya agar "hantu-hantu" yang "gila kuasa" didalamnya itu diberikan disiplin yang sewajarnya agar masalah yang hampir-hampir merosakkan imej PAS didalam isu muzakarah/muqabalah ini tidak berulang lagi.

(Petikan dari lubokkawah.blogspot.com)
Feel free to surf....
Feel Hard to leave...

No comments:

Post a Comment